Yayasan Raja Zarith Sofiah Lancar Tiga Pelan Pembiayaan Pendidikan Alternatif

JOHOR BAHARU: Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) menyasarkan membantu 5,000 pelajar setiap tahun melalui tiga jenis pelan pembiayaan pendidikan alternatif yang dilancarkan semalam.

Tiga pelan itu, Skim Inisiatif B-40, Geran Penyelidikan Pelajar dan Dana Program Kepelbagaian Dalam Pengajian adalah usaha di bawah Inisiatif Bantuan Kewangan Pendidikan Zarith Sofiah (ZSIEFA) membabitkan hampir RM25 juta setahun untuk menjayakannya.

Ketua Pegawai Esksekutif Yayasan Datuk Ghazali Mohd Yusoff berkata mereka akan menggumpul sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk sektor korporat bagi memastikan ketiga-tiga pelan ini berjalan seperti yang dirancangkan.

Katanya, bagi Skim Inisiatif B-40, Yayasan berhasrat untuk memberikan bantuan RM1,500 kepada setiap pelajar bagi membantu mereka dalam pelbagai perkara termasuk kos pengangkutan.

Ia juga adalah elaun tiga bulan dan skim ini disasarkan untuk pelajar daripada golongan pendapatan bulanan keluarga RM3,000 dan ke bawah.

Bagi Geran Penyelidikan Pelajar pula, Yayasan menyediakan RM2,000 dan ia boleh dipohon sekali sahaja sepanjang tempoh pengajian iaitu bagi menjalankan penyelidikan atau penyediaan tesis, yang merupakan syarat utama dalam menamatkan pengajian.

Dana Program Kepelbagaian Dalam Pengajian pula untuk membantu institusi serta individu dalam menggalakkan kepelbagaian dalam kajian dan pendidikan mereka.

Dana ini dibuka kepada calon-calon antarabangsa, Malaysia, individu, dan institusi pendidikan sementara dua lagi pelan lain iaitu Geran Penyelidikan Pelajar dan Skim Inisiatif B-40 dibuka hanya kepada rakyat Malaysia yang menuntut di universiti tempatan yang mengikuti ijazah pertama sehingga program kedoktoran.

Ketiga-tiga pelan itu tidak mempunyai had umur namun permohonan perlu dilakukan secara dalam talian dengan memuat naik projek dan maklumat kepada pentabdiran Yayasan dalam laman Facebook rasminya.

“Ketiga-tiga pelan ini perlu dilihat sebagai platform permulaan bagi pihak kerajaan dan pihak swasta bekerjasama dalam menyediakan pembiayaan alternatif kepada pelajar Malaysia.

“Yayasan menyeru agar semua sektor termasuk individu menyumbang kepada dana ini dalam memperkasakan generasi akan datang,” kata Ghazali sempena majlis pelancaran pelan itu di sini semalam.

Majlis pelancaran disempurnakan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah. — Bernama

Sumber: The Borneo Post

Similar Posts

Yayasan JCORP Sumbang Peralatan Hospital RM170,000

JOHOR BAHRU: Yayasan Johor Corporation (JCorp) menyampaikan sumbangan peralatan perubatan bernilai RM170,000 kepada Yaya

Permaisuri Johor Yakin Penerima Manfaat Kurniaan Komputer Riba

JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yakin golongan pelajar yang merupakan penerima bantu

Permaisuri Johor Yakin Pelajar Terima Komputer Riba Manfaat Kurniaan

Johor Bahru: Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yakin penerima bantuan komputer riba yang terdiri dar